Wednesday, March 2, 2011

Tangisan Dalam Hiba

Bismillahirrahmanirrahim

Robbi zidni ‘ilman warzuqni fahman

Melihat kejadian lalu, memerhati panorama lalu dari pandangan kaca mata berbeza membuat kuberfikir saban hari. Apakah yang telah kusumbangkan kepada agama syumul yang kuanuti ini? Sudahkah aku melaksanakan tanggungjawabku yang satu ini?

Ya Allah ya Robbi,
Aku tahu bahawa berda’wah itu merupakan kewajipan bagi setiap individu muslim namun sehingga kini aku masih belum melaksanakannya. Tahukah dirimu bahawa ilmu yang tidak diamalkan itu umpama pohon yang tidak berbuah?

Ku menyelusuri
Denai kerinduan ini
Kuatur langkah mendaki
Cinta yang tertinggi
Perjalanannya tidak seindah bicara
Penuh onak berduri
Harus kutempuhi

Aku hanya memerhati, menganalisa, meneliti kemudian cuba untuk memperbaiki diri. Tapi bagaimanakah dengan sahabat-sahabat seagama denganku? Tamaknya diriku sehingga tidak mahu menghulurkan tangan untuk sama-sama menggapai nikmat syurgawi. Berdosalah kiranya diriku membiarkan mereka terus berada dalam kegelapan duniawi. Aku yang mengetahui, aku yang mempunyai pelita yang mampu menerangi kegelapan itu, tidak langsung membantu insan yang membutuhkannya. Inikah yang dikatakan srikanda srikandi islam? Yang hanya menggunakan pelita untuk dirinya dikala kegelapan?

Fahami kembali tentang tujuan dirimu menganut agama ini. Adakah hanya untuk berfoya-foya menikmati keindahan duniawi dan ukhrawi?

Pernahkan dirimu terfikir akan persoalan yang akan ditanya kepadamu pada hari mendatang? Sudahkah kamu bersedia untuk menghadapinya? Mampukah kamu menjawabnya dengan hanya berbekalkan usaha yang telah dirimu lakukan selama ini?

Ya Allah, aku harus bersedia. Mengorak langkah terus maju kehadapan. Mengumpul segala kudrat yang ada. Demi keagungan sebuah agama, dinul Islam.

Di saat itu, air mataku bercucuran. Jatuh berderai melihat nasib sahabat seagama. Dicaci dan dihina. Dimalukan dan direndahkan martabatnya. Dicemuh dan dikecam. Tapi beliau terus bangkit menungkah segala mehnah mendatang. Tanpa mengenal erti kesusahan dan penderitaan seorang musafir yang sedang mengembara di sebuah tempat bernama dunia. Kapal terus dikemudi walaupun badai berterusan melanda. Demi sebuah amanah serta taklifan ‘khalifah di bumi Allah’, dia terus mengemudi, mengayuh langkah dan mendayung perahu buruknya sehinggalah sampai ke destinasi yang ditujui.

Kehidupan ini bukan satu destinasi tetapi ianya merupakan satu perjalanan yang dipenuhi sembilu. Si dia yang memahami tentang hakikat definisi kehidupan ini, terus berjuang untuk menegakkan agama suci ini.

Aku terjelopok lemah. Bertemankan air mata yang masih tersisa, kubermonolog sendirian.

Dia seorang Islam, aku juga seorang Islam. Apakah yang membezakan antara aku dan dia? Ya. Dia bersungguh-sungguh melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh Dia. Sedangkan aku? Hanya tahu memadang enteng akan hal ini. Dirinya faham akan ayat “ta’muruna bil ma’ruf watanhauna ‘anil munkar”. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Aku juga tahu tapi tidak menghayati ayat ini. Tidak pernah mengambil kisah akan perintah Allah yang satu ini. Hanya mengharapkan insan lain yang memikul tanggungjawab yang seharusnya digalas oleh setiap individu yang mengaku dirinya adalah muslim.

Sahabat itu terus berdiri membentangkan hujahnya. Menerangkan manifestonya di depan khalayak ramai. Sedangkan di belakang sana, hilaian ketawa terus menderu. Mencaci dan mengutuk sang penyampai bicara. Mentertawakan peribadi insan yang tidak seberapa ini. Namun itu bukan halangan baginya untuk berhenti daripada terus menyampaikan buah fikirannya.

Aku tertawa sendirian. Menertawakan diri ini. Mengejek diri ini. Menemplak diri ini.

Nah! Adakah dirimu itu sudah beriman? Sedangkan dirimu tidak melaksanakan tanggungjawabmu yang satu ini?

Kamu mengaku bahawa kamu seorang Islam, tapi kamu tidak menjalankan taklifan yang telah diberikan. Kamu mengaku bahawa kamu menjadikan Rasulullah itu tauladanmu tetapi hakikatnya kamu tidak mempraktikkan apa yang telah diajar oleh baginda. Kamu mengaku bahawa kamu berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah tapi hakikatnya kamu tidak mengamalkan apa yang ada di dalamnya. Bukankah ini satu pembohongan yang nyata?

Inilah pembohongan besar yang telah dirimu lakukan terhadap Tuhanmu, Robbul ‘Alamin. Inilah pembohongan besar yang telah dirimu lakukan terhadap para anbiya’ wal mursalin. Inilah pembohongan besar yang telah dirimu lakukan terhadap para tabi’en dan ‘ulama.

Kau katakana bahawa dirimu akan menyambung tugas-tugas mereka, tapi hakikatnya bicara itu hanya manis di pinggir bibir tapi apabila telah sampai ke destinasi yang bernama hati hilanglah kemanisannya. Janji itu sekadar janji. Tidak dipatuhi dan dipenuhi. Ikatan Mou yang telah dimetrai dibiarkan sepi.

Hanya kalimah-kalimah ini berlagu menemani diri…

“diriku belum mempunyai kekuatan yang secukupnya untuk memikul amanah ini.”

“da’wah itu tidak seharusnya memerlukanku untuk berada di depan khalayak ramai, tidak seharusnya dengan memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar dan badan-badan kepimpinan yang lain.”

“da’wah itu juga boleh dilaksanakan dengan menunjukkan tauladan yang baik. Peribadi yang indah bersulam hikmah.”

Tapi pernahkah dirimu terfikir bahawasanya…

Kekuatan itu perlu dicari, digali dan diterokai. Ianya tidak pernah datang bergolek menuju ke arahmu. Tidak pula diberikan secara percuma kepadamu. Ingatlah bahawa Al-Hakim itu tidak memandang kepada peribadimu tetapi kepada usaha yang telah dirimu lakukan.

Ya. Memang benar da’wah itu tidak seharusnya memerlukan dirimu untuk berada dalam kalangan khalayak ramai ataupun dengan memegang jawatan-jawatan penting. Tapi pernahkah dirimu terfikir akan jalan-jalan untuk berda’wah? Pernahkah dirimu terfikir seorang pemimpin yang berwibawa itu mampu mengubah perihal seantero dunia ini jika yang dibawa itu berada dalam paksi yang ditentukanNya? Fikirkanlah.

Tauladan itu sememangnya satu bentuk da’wah yang berhikmah. Tapi bukan bermakna dirimu hanya perlu membenci kemungkaran yang berlaku disekelilingmu. Apa yang lebih penting itu ialah menukarkan kemungkaran tersebut kepada kebaikan. Ingatkah dirimu akan kata-kata Rasulullah s.a.w bahawa mencegah dengan hati iaitu membenci akan kemungkaran yang berlaku adalah tahap iman yang paling lemah. Tahap iman yang paling rendah yang dimiliki oleh individu muslim.

Aku berfikir lagi, berfikir, dan terus berfikir. Langkah dihayun siring dengan iringan sang purnama yang seakan semakin sirna. Air mata jatuh bercucuran. Bibir menguntum senyuman hambar. Hati tertawa dalam kesedihan. Kepiluan ini sesungguhnya amat mendera sudut batinku. Mereka memandang, senyuman kuberikan. Sehambar debunga layu, itulah warna senyuman yang dapat diberikan. Hati ini sesungguhnya sedang sakit.

ICU itu di mana? penawar penyakit ini harus dicari dengan secepat mungkin. Tidak boleh terus menerajui hati ini. Biarpun penawar itu selalunya pahit tapi itulah yang merawat diri. Inilah resmi kehidupan yang sememangnya telah termetrai dan tercatat dalam akta kehakiman alami.

Yang perlu berubah itu bukan akta tersebut tetapi dirimu. Berubah secara zahiriah dan batiniah. Inilah seharusnya yang perlu dilakukan. Berubahlah wahai diri, carilah kekuatan itu serta berpautlah pada tiang-tiang yang benar.

“Wahai orang yang  beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (As-Saff: ayat 2-3)


Aku musafir
Di bumi cinta
Terus menangis dalam hiba
Ya Allah Ya Robbi
Bantulah hambamu ini
I'm seeking for your redha

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...